Monday 9 February 2015

LAGU KEBANGSAAN MALAYSIA, BENDERA MALAYSIA, JATA NEGARA








LIRIK LAGU NEGARAKU

Negaraku
Tanah tumpahnya darahku,
Rakyat hidup
bersatu dan maju,

Rahmat bahagia
Tuhan kurniakan,
Raja kita
selamat bertakhta,

Rahmat bahagia
Tuhan kurniakan.
Raja kita
selamat bertakhta 







ASAL USUL LAGU KEBANGSAAN MALAYSIA
Terdapat dua sumber rujukan berkaitan asal usul lagu Negaraku sebelum dijadikan Lagu Kebangsaan Malaysia : 

SUMBER YANG PERTAMA
Berasal dari Lagu Kebangsaan negeri Perak dan satu lagu popular berjudulTerang Bulan (Trang Bulan).  Mengikut cerita Tuan Haji Mustafa AlBakri, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu, lagu ini digunakan buat pertama kali sebagai Lagu Kebangsaan Negeri Perak pada 1901 iaitu ketika pertabalan Raja Edward VII di England.
Sultan Idris Murshiduladzam Shah, adalah Sultan Perak ketika itu (1887 hingga 1916). Pada masa pertabalan Raja Edward VII (1901), Sultan Idris berangkat ke England sebagai wakil raja-raja Melayu bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dalam Istiadat Pertabalan itu. Tiba di Pelabuhan Southampton, pegawai protokol dari pejabat kolonial luar naik ke kapal dan bertanyakan Lagu Kebangsaan Negeri Perak.  Menjadi amalan di England pada masa itu setiap kali Ketua Negara atau Raja berangkat, lagu kebangsaan negeri itu dimainkan.
Pada masa itu Negeri Perak tidak mempunyai lagu kebesarannya sendiri.  Kebetulan, Raja Harun Sultan Abdullah, setiausaha sulit kepada Sultan adalah seorang pemuzik.  Walaupun sedar Negeri Perak tidak mempunyai lagu kebesarannya sendiri, dia tidak mahu mengaku kalah.  Raja Harun memberitahu pegawai protokol bahawa Negeri Perak memang sudah ada lagu kebesarannya sendiri tetapi nota lagu itu tidak dibawa bersama.  Begitupun, Raja Harun boleh memainkan lagu itu tanpa nota.
Selepas mendengar penerngan Raja Harun, pegawai protokol membenarkan beliau memainkan lagu itu.  Lagu itu sebenarnya ialah lagu Terang Bulan.  Berkumandanglah lagu Terang Bulan di bumi England pada 1901 buat pertama kalinya dan sekaligus menjadi Lagu Kebesaran Negeri Perak.  Dari saat itu, lagu Terang Bulan menjadi Lagu Kebangsaan Negara dan seterusnya Lagu Kebangsaan Malaysia. 



SUMBER YANG KEDUA
Cerita disampaikan Raja Kamarulzaman, anak kepada Raja Mansur yang pernah menjadi juruiring kepada Sultan Idris.  Beliau menyatakan laguTerang Bulan mula dijadikan Lagu Kebangsaan Negeri Perak pada 1888, apabila Sultan Idris melawat London iaitu setahun Bulan selepas baginda ditabalkan.
Sultan Idris berangkat ke London untuk menghadiri Upacara Kemahkotaan Permaisuri Victoria pada 1888.  Setibanya rombongan diraja di London sebagai persediaan, wakil Permaisuri Vicoria meminta nota Lagu Kebesaran Negeri Perak daripada Raja Mansur, juruiring Sultan Idris.  Untuk mengelak malu maka menerusi kebijaksanaan dan daya usaha Raja Mansur, beliau menyatakan nota lagu terlupa dibawa.
Bagaimanapun, Raja Mansur memberitahu wakil Permaisuri dapat menyediakan seorang pakar muzik yang boleh membuat nota lagu, beliau boleh membunyikan dengan cara bersiul.  Lagu disiul itu adalah lagu yang sangat popular dan digemari penduduk Negeri Perak.  Lagu Kebesaran Negeri Perak buat kali pertamanya dimainkan secara rasmi pada Upacara Kemahkotaan Permaisuri Victoria di London dan lagu itu ialah lagu Terang Bulan.
Mubin Sheppard, bekas Pengarah Arkib Negara pernah membuat penyelidikan mengenai asal usul lagu Negaraku.  Beliau mendapat cerita daripada dua adik beradik, Raja Aminah Almarhum Sultan Abdullah dan Raja Halijah Almarhum Sultan Abdullah, selain Raja Kamarulzaman.  Mengikut dua adik beradik ini, kali pertama mereka mendengar lagu ini yang sekarang dikenali sebagaiNegaraku ialah di Mahe, Kepulauan Seychelles, lokasi ayahanda mereka iaitu bekas Sultan Perak, Sultan Abdullah menetap dalam buangan.
Kata mereka, lagu itu sangat popular di pulau berkenaan dan selalu dimainkan pasukan pancaragam.  Dipercayai melodinya digubah ahli muzik Perancis, Pierre Jean de Beranger yang lahir di Perancis pada 1780 dan meninggal dunia pada 1857.
Raja Kamarulzaman pula menceritakan lagu itu diperkenalkan seorang bangsawan dari Indonesia yang sedang membuat pertunjukan di Singapura.  Dalam tempoh singkat lagu itu menjadi popular di Singapura dan diberi nama Terang. 


SEJARAH LAGU NEGARAKU
Lagu Kebangsaan dicipta pada tahun 1957 dan pemilihan lagu ini dibuat oleh bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah. Irama “Negaraku” dipetik daripada irama lagu negeri Perak. Lagu negeri Perak pula mendapat ilham asal daripada lagu “Terang Bulan” yang merupakan lagu yang amat disukai oleh Sultan Abdullah, Sultan Perak, ketika baginda dalam buangan di Pulau Seychelles. “Negaraku” menekankan taat setia dan perpaduan rakyat untuk kemajuan negara. Lagu ini berperanan untuk membangkitkan semangat patriotik dan cintakan tanah air.
Idea untuk mencipta Lagu Kebangsaan timbul ketika negara sedang bersiap menyambut hari kemerdekaan. Lagu Kebangsaan perlu diperdengarkan dalam upacara pengisytiharan kemerdekaan yang ditetapkan pada 31 Ogos 1957.
Lantaran itu, pada bulan Februari 1957, satu pertandingan mencipta lagu rasmi telah diadakan. Namun empat lagu akhir yang telah disenarai pendek telah ditolak oleh Jawatankuasa Khas Pemilihan Lagu Kebangsaan (JKPLK) yang diketuai sendiri oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sebaliknya mengesyorkan lagu Negeri Perak sebagai asas bagi mencipta Lagu Kebangsaan Negara Malaysia. Cadangan itu telah dipersetujui oleh ahli JKPLK yang lain.
Skor lagu “Negaraku” telah disediakan oleh Alfonso Soliano (Pemimpin Orkestra Radio Malaya), D.S.P Croff (Pengarah Muzik, Pancaragam Polis Diraja), Kapten Lenthall (Pengarah Muzik, Pancaragam Askar Melayu, Port Dickson) dan A.T Reed (Ketua Pengarah Radio Malaya). Seni kata Lagu Kebangsaan “Negaraku” telah disediakan oleh satu jawatankuasa khas yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dengan persetujuan Sultan-Sultan Tanah Melayu.
Lagu Kebangsaan “Negaraku” diperdengarkan buat julung kalinya pada 31Ogos 1957, di Padang Kelab Selangor. Pada malam tersebut, bendera Union Jack telah diturunkan dan digantikan dengan bendera Persekutuan Tanah Melayu, diiringi dengan Lagu Kebangsaan “Negaraku”. Bermula dari detik inilah, lagu “Negaraku” terus kekal menjadi lagu rasmi negara.




SEBAB WUJUD LAGU NEGARAKU

Lagu Kebangsaan bukan sahaja untuk membangkitkan semangat patriotik terhadap negara bahkan ianya melambangkan sosiobudaya serta mempaparkan cita-cita, hasrat dan harapan bangsa negara berkenaan. Lagu Kebangsaan Malaysia dinamakan Negaraku. Maksud lirik lagu Negaraku ialah menyeru rakyat dari berbagai bangsa, agama dan sosiobudaya hidup bersatu padu dan mengejar pelbagai kemajuan. Di samping itu lagu ini memohon rahmat dan kebahagiaan dari Allah untuk kesejahteraan raja, rakyat dan negara tercinta Malaysia. Lagu Negaraku asalnya berentak moderato sama seperti kebanyakan negara-negara beraja lain di dunia. Walau bagaimanapun sesuai dengan perkembangan sosioekonomi negara, pada 30 Ogos 1993 iaitu sempena menyambut Perayaan Hari Kebangsaan tahun 1993, kerajaan telah mengubah rentaknya kepada rentak march iaitu lebih cepat dan penuh bersemangat. Rakyat Malaysia yang cintakan negara dan raja perlu mengetahui lebih dalam mengenai Negaraku supaya lebih bersemangat patriotik.


CARA MENGHARGAI/ MEMELIHARA LAGU NEGARAKU

Kita boleh mengukur sejauh manakah tahap patriotisme rakyat Malaysia dengan memerhatikan sikap mereka terhadap lagu kebangsaan. Sejak di bangku sekolah kita didedahkan nyanyian lagu Negaraku.  Bagaimanapun,  tempoh  masa  bagi  mendidik generasi muda mengenai identiti negara  iaitu  Lagu   Negaraku itu singkat iaitu selama kira-kira 12 tahun mengambil kira peringkat persekolahan rendah dan menengah. Jika hendak mengharapkan pendedahan di sekolah, ia belum mencukupi kerana seorang pelajar hanya menyanyikan lagu kebangsaan seminggu sekali itu pun sekiranya perhimpunan diadakan. Selepas waktu sekolah jarang sekali pelajar menyanyikan lagu kebangsaan melainkan jika menghadiri majlis rasmi anjuran kerajaan. Apabila seorang pelajar meningkat dewasa seperti memasuki menara gading maka kekerapan mereka menyanyikan lagu Negaraku semakin berkurangan kerana jarang sekali mahasiswa terbabit dalam sesi perhimpunan. Kalau ada kesempatan pun ketika mereka mengikuti program kenegaraan anjuran Biro Tatanegara atau menjadi penonton perlawanan bola sepak di stadium. 
Oleh yang demikian langkah kerajaan mewajibkan setiap pawagam memainkan lagu Negaraku sebelum tayangan sesebuah filem baru-baru ini satu perkara yang boleh kita renungi bersama. Langkah diambil kerajaan itu tidak perlu dipersoalkan kerana satu kaedah bagi mendidik perasaan cinta akan negara. Pawagam lokasi sosial yang menerima kunjungan pelbagai lapisan masyarakat tidak kira usia, pangkat dan bangsa. Boleh dikatakan majoriti pengunjung pawagam warganegara Malaysia dan ini satu peluang untuk menyemai kesedaran menghormati lagu kebangsaan.

Walaupun tempoh pelaksanaan arahan menyanyikan lagu Negaraku selama seminggu, tetapi tempoh ini memberi ruang kepada pihak kerajaan untuk menilai keberkesanannya sebelum satu garis panduan yang tetap dikeluarkan. Bagi memelihara kemuliaan lagu Negaraku, kerajaan menggubal Akta Lagu Kebangsaan 1968 yang antara lain memperincikan hukuman yang bakal dikenakan kepada individu yang tidak menghormati lagu kebangsaan. Salah satu perkara termaktub dalam akta berkenaan ialah hukuman dalam bentuk denda tidak melebihi RM100 atau penjara tidak lebih satu bulan sekiranya didapati tidak menghormati lagu kebangsaan. Ada kemungkinan ramai yang tidak menyedari perkara ini hingga ada dilaporkan baru-baru ini terdapat pengunjung ditegur oleh pengurusan pawagam kerana tidak berdiri menyanyikan lagu Negaraku. Memandangkan perkara ini serius maka kerajaan perlu menyebarkan penerangan berhubung kewajipan mematuhi Akta Lagu Kebangsaan.
Sebagai rakyat Malaysia yang cinta akan negara, kita haruslah menghargai dan memelihara Lagu Kebangsaan. Kita seharusnya menghormati Lagu Negaraku ketika menyanyikan Lagu Kebangsaan berkumandang. Semasa Lagu Negaraku berkumandang rakyat Malaysia haruslah berdiri tegak dan menyanyikan Lagu Kebangsaan dengan penuh semangat. 
Ketika lagu Negaraku dinyanyikan, majoriti rakyat Malaysia berdiri seperti rumpai dalam akuarium, meliuk-liuk kiri dan kanan dan ada yang juga berbual- bual dengan rakan- rakan mereka. Mengadakan kempen menerusi media cetak dan elektronik juga merupakan langkah memelihara Lagu Negaraku.
Media  cetak  dan elektronik  memainkan  peranan  penting untuk  memelihara Lagu Kebangsaan  kerana  anak  muda kian  leka   dengan   hedonisme dan  hiburan  dari  ala barat. Lantaran itu,  mereka  lupa  pengorbanan  generasi  sebelumnya yang bertungkus lumus mendirikan Malaysia untuk sampai ke tahap hari ini. Maka akhirnya negara barat yang dipersalah kerana anak muda di Malaysia tidak bersemangat menyanyi lagu Kebangsaan.

















BENDERA MALAYSIA










Bendera Malaysia merupakan lambang kepimpinan, simbol penghormatan, martabat dan kewarganegaraan bagi sebuah negara. Setiap negara mempunyai bendera yang tersendiri untuk mewujudkan perasaan bangga terhadap tanah air. Bendera ditakrifkan sebagai sebidang kain yang diperagakan bagi menunjukkan tanda dan lambang kewujudan yang juga dikenali sebagai panji dan obor. Bendera dalam budaya Melayu biasanya dikaitkan dengan kedudukan golongan Diraja yang memerintah. 


FAKTA JALUR GEMILANG
Ø  Ilham untuk menamakan bendera Malaysia kepada Jalur Gemilang diusulkan DatukHashim Mat Idris. Cadangan berkenaan dikemukakan kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir pada 11 Julai 1995.
Ø  Pada 1 Julai 1996, Urus setia menguruskan nama mengemukakan 75 cadangan berserta ulasan dan huraian. Tiga nama disenarai pendekkan iaitu Setia Perkasa, Seri Setia Perkasa dan Seri Setia Negara.
Ø  Tiga nama ini bagaimanapun ditolak Jemaah Menteri ketika mesyuarat pada 11 September 1996.
Ø  28 nama lagi dicadangkan dan pada 2 Jun 1997, tiga nama dicalon mengikut keutamaan iaitu Jalur Gemilang, Jalur Nusa Gemilang dan Jalur Sinar Gemilang.
Ø  Pengisytiharan Jalur Gemilang dilakukan Tun Dr Mahathir, pada 30 Ogos 1997, jam 11.58 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.



SEJARAH JALUR GEMILANG

Jalur Gemilang yang dilihat sekarang sebenarnya wujud beberapa tahun sebelum negara merdeka. Sejarah sepintas lalu, merekodkan Bendera Persekutuan Tanah Melayu diilhamkan menerusi satu pertandingan mereka cipta bendera peringkat kebangsaan. Pertandingan dikelolakan Jawatankuasa Khas dan dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara ketika itu, Sir Alec Newboult dianjurkan bagi mencari lambang kewujudan kerajaan Persekutuan.

Pada 15 November 1949, Jawatankuasa ini mengemukakan 373 reka bentuk bendera kepada Majlis Perundangan Persekutuan untuk pertimbangan dan pemilihan. Daripada jumlah itu, tiga rekaan disenarai pendekkan membabitkan lambang keris bersilang dikelilingi 11 bintang pecah lima manakala rekaan kedua mempertaruhkan reka bentuk hampir serupa kecuali 11 bintang pecah lima membentuk dua bulatan mengelilingi keris bersilang.

Bagaimanapun, rekaan ketiga ciptaan arkitek Jabatan Kerja Raya Johor, Mohamed Hamzah yang menampilkan sebelas jalur biru-putih dengan bulan bintang berwarna putih di bahagian tepi kiri mendapat pilihan majoriti dan perkenan Mesyuarat Majlis Raja-raja yang berlangsung pada 22 dan 23 Februari 1950. Sebelum kekal dengan rekaan sekarang, beberapa pindaan dibuat termasuk mengikut cadangan Sultan Kedah yang meminta warna putih bulan sabit ditukar kuning bagi mewakili warna Diraja.

Pada 19 April 1950, Majlis Perundangan Persekutuan menerusi perkenan Majlis Raja-raja Melayu meluluskan usul yang dibentangkan Pemangku Ketua Setiausaha Negara mengenai Bendera Persekutuan Tanah Melayu.

Pada 26 Mei tahun yang sama, bendera itu dikibarkan buat pertama kalinya di Istana Sultan Selangor, Kuala Lumpur. Majlis pengibaran yang berlangsung pada 9.30 pagi itu dihadiri wakil Sultan seluruh tanah Melayu.

Selama 47 tahun digelar Bendera Malaysia, pada kemerdekaan ke-40 pada 1997, namanya ditukar kepada Jalur Gemilang. Nama diusulkan pegawai dari Jabatan Muzium Negara dan Antikuiti, Redzuan Tamin dalam satu peraduan membabitkan pihak tertentu ini berjaya menewaskan 28 cadangan antaranya, Malaysia Raya, N.U.S.A, Mega Sakti, Saga Merah dan sebagainya. 


MAKSUD LAMBANG DAN WARNA;
*      Lambang Jalur pada bendera menggambarkan satu laluan lurus, hala tuju dan arah yang sama dianuti rakyat negara ini.
*      Gemilang bermaksud bercahaya, terang benderang dan cemerlang.
*      Jalur Gemilang melambangkan kecemerlangan negara dan rakyat Malaysia dalam mengharungi suasana kehidupan dengan penuh gigih, taat dan bersatu padu bagi menjaga nama dan menaikkan imej negara.
*      Warna merah pada jalur melambangkan kesanggupan, keberanian, kegagahan dan kegigihan rakyat menghadapi segala cabaran.
*      Warna putih melambangkan keluhuran dan keikhlasan.
*      Warna biru melambangkan perpaduan hidup yang rukun dan damai.
*      Warna kuning melambangkan kesetiaan rakyat kepada Raja dan negara.


SEBAB WUJUD JALUR GEMILANG

Percantuman Sabah, Sarawak dan Singapura dengan Persekutuan Tanah Melayu telah melahirkan sebuah negara baru iaitu Malaysia. Dengan percantuman itu, bendera Persekutuan Tanah Melayu telah diubah suai untuk mengambil kira penambahan negeri-negeri tersebut.
Duli-Duli yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dan Tuan-Tuan Yang Terutama Gabenor-Gabenor dalam satu Persidangan Majlis Raja-Raja menjelang pembentukan Malaysia telah memperkenankan iaitu reka bentuk Bendera Malaysia hendaklah mengikut reka bentuk Bendera Persekutuan Tanah Melayu dengan pengubahsuaian pada bilangan jalur-jalur dan bintang pecah 14 bagi menunjukkan 14 buah negeri baru bagi Persekutuan Malaysia.
Sungguhpun Singapura berpisah daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965, namun jalur-jalur dan bintang pecah 14 terus dikekalkan hingga sekarang. Kini jalur-jalur dan bintang berpenjuru 14 melambangkan keanggotaan yang sama dalam Persekutuan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan (terdiri daripada 3 Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.)

 CARA MENGHARGAI JALUR GEMILANG
Kemerdekaan adalah satu nikmat yang patut disyukuri. Oleh itu, seluruh rakyat mesti terus menghargai nikmat kemerdekaan ini dengan berusaha ke arah memperkukuh kemajuan serta bekerja keras dalam apa jua bidang yang diceburi supaya negara mencapai taraf negara maju berpendapatan tinggi.
Pemimpin dan rakyat sepatutnya mempunyai persefahaman dan perkongsian matlamat untuk menjadikan Malaysia terus kukuh dan makmur di persada antarabangsa. Justeru, hari kemerdekaan tidak sepatutnya dinantikan kerana cuti am tetapi ia adalah hari untuk kita mempamerkan semangat patriotik terhadap negara.
Di bulan kemerdekaan inilah kita seharusnya mengimbas kembali segala usaha yang dilakukan untuk membina negara serta cabaran-cabaran yang dihadapi supaya kita terus memperbaharui iltizam untuk membina sebuah negara yang harmoni, maju dan progresif.
Elemen-elemen utama yang boleh membina kesejahteraan hidup bermasyarakat seperti persefahaman, hormat-menghormati, toleransi dan penerimaan serta kepercayaan di antara satu sama lain, di samping menjunjung Perlembagaan dan Rukun Negara mesti terus diamalkan dalam kehidupan bermasyarakat supaya usaha membina perpaduan dalam satu gagasan yang dikenali sebagai gagasan 1Malaysia tanpa mengira kaum, warna kulit atau fahaman politik terus menjadi kukuh.
Dalam masa sama, aktiviti kibar Jalur Gemilang wajar diberi perhatian oleh semua lapisan masyarakat. Sambutan kemerdekaan akan hilang serinya tanpa kibaran Jalur Gemilang. Mengibarkan bendera kebangsaan wajar dilihat sebagai aktiviti penting di bulan kemerdekaan. Ia sebagai tanda kebanggaan kita kepada negara tercinta ini. Amalan ini dapat menyemai kecintaan dan penghormatan terhadap bendera kebangsaan yang menjadi ciri penting dalam pembinaan negara.
Bendera adalah sebahagian daripada identiti dan lambang kedaulatan negara. Justeru, inilah masanya untuk rakyat Malaysia berbilang bangsa memaparkan semangat patriotik terhadap negara dengan cara mengibarkan Jalur Gemilang sama ada di rumah, di premis perniagaan, di kenderaan, di sekolah, institusi pengajian tinggi dan di taman-taman perumahan sehinggalah ke desa-desa seluruh pelosok tanah air. Ia bukan paksaan, tetapi dilakukan secara sukarela sebagai usaha memeriahkan perayaan kenegaraan ini.
Usaha ini boleh dijayakan melalui persatuan penduduk, persatuan belia, persatuan mahasiswa serta penglibatan sektor swasta. Penglibatan rakyat dari segenap lapisan masyarakat pelbagai kaum dalam aktiviti mengibarkan Jalur Gemilang mampu mengukuhkan lagi proses pembinaan negara dalam sebuah negara yang berbilang kaum, agama dan budaya ini. Ia mesti diperluaskan di sekolah, kolej dan universiti dengan menerapkan kefahaman tentang kepentingan bendera kebangsaan dan maksud di sebaliknya.
Dalam konteks mendidik generasi muda, aktiviti kibar Jalur Gemilang dapat menerapkan perasaan bangga dan patriotik terhadap negara. Ia sekali gus dapat menjadikan generasi muda kita tahu menghormati dan mencintai bendera. Justeru, perlu lebih banyak usaha dilakukan untuk menerangkan dan menjadikan mereka lebih peka dan menghargai serta menghayati erti sebenar kemerdekaan.
Generasi muda juga perlu diberi kefahaman bahawa semangat patriotik perlu diterapkan dalam kehidupan seharian, pemikiran dan tindakan terutama dalam konteks membela dan mempertahankan kepentingan tanah air. Ia melambangkan pengorbanan serta kebanggaan dengan apa yang dicapai selama ini.
Kesimpulan, semangat patriotisme mesti terus disemarakkan dan diperkukuhkan bagi menghadapi cabaran-cabaran baru yang boleh menggugat kemerdekaan dan kedaulatan negara.
Semangat patriotisme bukan sahaja penting untuk mempertahan kedaulatan dan kemerdekaan tanah air tetapi juga menjadi obor dan pendorong untuk rakyat terus berusaha gigih membangun dan memajukan negara ini, terutama dalam menjayakan agenda transformasi nasional yang dibawa oleh kepemimpinan negara yang silih berganti.













JATA NEGARA








Jata Negara Malaysia merupakan lambang Persekutuan Tanah Melayu yang telah diperkenankan dan diwartakan oleh Raja-Raja Melayu pada 30 Mei 1952. Reka bentuk Jata Negara telah diusahakan oleh Jabatan Ukur dengan menggunakan enam warna.






Bintang pecah 14 menandakan 13 buah negeri dan sebuah Wilayah Persekutuan yang terkandung dalam Persekutuan Malaysia, dan Kerajaan Persekutuan. Bintang bersama-sama anak bulan pula sebagai lambang Agama Islam yang diangkat sebagai agama rasmi Malaysia.



Lima bilah keris sebagai lambang Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu iaitu Johor, Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu.


Bahagian sebelah kiri perisai menandakan Pulau Pinang dan bahagian sebelah kanan dengan pokok Melaka mewakili Melaka. Kedua-dua buah negeri tersebut adalah sebahagian daripada Negeri-Negeri Selat suatu ketika dahulu. 




 Empat jalur yang sama besarnya dalam bahagian tengah itu,:

  •   warna hitam dan putih adalah warna Pahang.
  •   warna merah dan kuning warna Selangor.
  • warna  hitam, putih dan kuning warna Perak.
  •  warna merah, hitam dan kuning adalah warna Negeri Sembilan.
 Empat buah negeri ini adalah Negeri-Negeri Melayu Bersekutu yang asal. 



Dua ekor harimau  merupakan lambang bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.
















Tiga bahagian di sebelah bawah itu menandakan negeri Sabah di sebelah kiri dan Sarawak di sebelah kanan. Di tengah-tengahnya ialah bunga raya yang merupakan Bunga Kebangsaan Malaysia.




Cogan “Bersekutu Bertambah Mutu” ditulis dengan tulisan rumi di sebelah kiri dan tulisan jawi di sebelah kanan. Warna kuning pada awan-awan adalah warna Diraja bagi Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.






SEBAB WUJUD JATA NEGARA

Versi asal jata negara kebangsaan negara kita pernah digunakan sejak dari zaman kerajan persekutuan tanah melayu lagi di mana pada asalnya melibatkan 4 negeri iaitu Pahang, Perak, Selangor and Negeri Sembilan. Ianya diperkenalkan pada tahun 1895. Motto ditulis dalam bahasa Jawi, Dipelihara Allah. (Under Allah’s Protection).

Selepas Kerajaan persekutuan melayu dibentuk pada tahun 1948, lambang kebangsaan diubah selepas penambahan beberapa negeri dalam kerajaan persekutuan. Simbol Mahkota diubah kepada simbol bulan dan bintang. Perisainya pula mengandungi 5 keris dan lambang pulau pinang(Princess of Wales feathers) dan melaka (A Famosa). Motto diubah kepada Bersekutu Bertambah Mutu, kedua-duanya ditulis dalam bahasa melayu (Jawi) dan bahasa inggeris.

Lambang jata negara diubah buat kali keduanya selepas penggabungan Kerajaan persekutuan Malaysia, Singapura, negeri Sabah dan Sarawak diletakkan di sebelah bawah perisai tersebut. Lambang negeri Melaka dan Pulau Pinang pula diubah kepada pokok pinang dan pokok melaka. Ianya hanya diperkenalkan pada tahun 1963 dan bertahan selama dua tahun kemudian.
Selepas Singapura meninggalkan persekutuan, lambang tersebut diubah lagi dengan pengguguran lambang singapura. Lambang bunga raya pula digantikan. Jata negara diubah lagi dengan rekaan dua ekor harimau yang lebih realistik. Sedikit perubahan pada simbol negeri Sarawak, Pulau Pinang and Sabah. Simbol Jata negara terkini digunakan sehingga sekarang.

Setiap negara mempunyai suatu jata (emblem) yang menjadi lambang keutuhan penubuhannya sebagai paparan simbolik. Begitu juga dengan tanah air yang kita cintai, Malaysia. Setiap imej membawa pengertian yang melambangkan tentang sistem pemerintahan di Malaysia. Jata Negara (National Emblem) ini sebenarnya membawa maksud tentang penyatuan serta pembentukan Persekutuan Tanah Melayu.




CARA MENGHARGAI JATA NEGARA MALAYSIA

            Sebagai rakyat Malaysia yang cinta dan setia akan negara hendaklah mempunyai kesedaran tinggi dalam menjaga dan menghargai setiap identiti negara. Jata negara merupakan salah satu identiti negara yang perlu dihargai dan dipelihara. Jata negara juga merupakan lambang rasmi negara yang perlu dihayati dan dipaparkan di pejabat kerajaan atau di setiap premis perniagaan yang tertentu. Perkara ini bukan sahaja menjadi lambang Malaysia malah satu kemegahan rakyat kepada para pelancong dan seluruh dunia. Perlambangan ini juga membawa maksud satu cita-cita dan wawasan sesebuah negara ke arah kekuatan dan kedaulatan kerajaan  dan juga kemakmuran dan kemajuan bangsa Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum.

            Di samping itu, rakyat Malaysia perlu mempraktikalkan budaya bertoleransi dan bersatu padu dalam mengekalkan identiti kebangsaan ini dari sudut pameran. Apabila lambang kemegahan negara ini sentiasa dipamerkan, ianya perlulah menjadi kesepakatan rakyat Malaysia. Perkara ini bukan sahaja dapat meningkatkan semangat perpaduan dan dapat mengeratkan hubungan sesama kaum dan pelbagai kaum. Hal yang demikian kerana identiti kebangsaan ini menunjukkan kebanggaan warganegara dan  kedaulatan negara. 

            Sehubungan itu, rakyat juga mestilah sentiasa prihatin dengan kedudukan dan martabat lambang kemegahan negara ini. Lambang ini perlulah sentiasa dijaga dengan rapi dan tidak boleh sewenang-wenangnya diletakkan di merata tempat. Tambahan pula, rakyat perlulah menghayati dan memahami maksud ya



ng tersirat di sebalik symbol-simbol yang terdapat pada jata negara ini. Lambang negara ini amat penting kerana menjadi simbol kemegahan negara.


            Oleh itu, rakyat Malaysia seharusnya menghargai jata negara kerana ia merupakan identiti negara Malaysia dan merupakan pemangkin semangat patriotik dalam setiap rakyat Malaysia. Perkara ini juga menjadi satu kebanggaan bagi setiap rakyat  dan menjamin kedaulatan negara.   













3 comments :

  1. Info menarik. Saya ada sedikit tambahan info. Harimau dalam jata negara di gelar Harimau Malaya. Harimau Malaya ini juga dikenali sebagai Harimau Belang iaitu spesies yang hanya ada di Semenanjung Malaysia. Iaitu Panthera Tigris Malayeins atau Panthera Tigris Jacksoni

    ReplyDelete